Misi Bantuan Taufan Bopha KP1M:Jemaah Solat Subuh Selamat Dari Taufan
Sementara menunggu sampai waktu subuh, kira-kira 20 umat Islam di perkampungan Block 3, Bagtican, Lambajon terselamat dari bencana alam paling teruk di kawasan itu.
Pada ketika itu, jam menunjukkan kira-kira pukul 4 pagi di mana kesemua mereka sedang bersiap sedia untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah di Masjid Lambajon.
Di saat-saat penduduk lain sedang nyenyak tidur dirumah, Taufan Bopha datang menyerang perkampungan terbabit bermula kira-kira jam 4.30 pagi.
Malahan, menurut sumber, masjid berkenaan dikatakan tempat pertama yang diserang taufan Bopha namun kesemua mereka masih selamat.
Menurut saksi, Locita Luyoo Olazo, 29, pada waktu itu semua orang masih tidur dan sebab itu kebanyakan daripada mereka tidak sempat menyelamatkan diri.
“Apa yang boleh saya katakan, ketika itu jemaah sedang menunggu tibanya waktu subuh dan secara tiba-tiba taufan itu sampai.
“Mujur mereka sempat mencari tempat untuk menyelamatkan diri… bagaimanapun ada yang mengatakan umat Islam lain ditimpa musibah.
“Ada yang kehilangan ahli keluarga dan ada yang tercedera,” kata salah seorang penduduk kampung itu.
Masjid berkenaan merupakan satu-satunya tempat ibadat umat Islam terbesar di kampung itu yang mempunyai kira-kira 30 keluarga Muslim.
Inilah yang dikatakan keagungan Tuhan yang telah selamatkan umat Islam dikala kesemua mereka sedang menunggu waktu solat.
PerakToday berpeluang menziarahi tapak masjid berkenaan yang dilihat 60 peratus sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi.
Masjidnya tidak besar malah dibuat daripada kayu namun telah menyelamatkan 20 umat Islam dari menjadi mangsa Taufan Bopha.
Apa yang menyedihkan adalah, sehingga kini umat Islam di perkampungan itu tidak dapat menunaikan solat Jumaat secara berjemaah akibat kemusnahan masjid itu.
Justeru, kedatangan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) seolah-olah memberi sinar kepada umat Islam di perkampungan itu yang cuba untuk mendapatkan bantuan dari segi peruntukkan bagi membaiki masjid terbabit.
Mendengar berita yang menyedihkan itu, lantas Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mengambil langkah drastik dengan menyumbangkan 50,000 Peso kepada jawatankuasa masjid berkenaan.
“Saya dengar mereka sudah empat minggu tidak dapat menunaikan solat Jumaat berjemaah disebabkan satu-satunya masjid telah rosak dan musnah akibat taufan.
“Jadi sebagai jiran dan saudara seagama, kira perlu tolong mereka dengan memberi peruntukkan untuk kerja-kerja membaiki masjid berkenaan,” katanya pada sidang media di Baganga, Davao Oriental, pagi tadi.
Dalam majlis yang sama, Abdul Azeez turut menyumbangkan bantuan ubat-ubatan serta kelengkapannya kepada pihak tentera yang menyelanggarakan kem penempatan mangsa Taufan Bopha.
Sumbangan itu diterima oleh Penolong Ketua Kem, Dr Mejar Jonathan.
“Untuk mangsa di Baganga, kita telah sumbangkan kira-kira 2 tan ubat-ubatan dan kita juga ada sumbangkan peralatan untuk merawat seperti kerusi roda, tongkat serta pengusung.
Selain itu, KP1M turut menyumbangkan 50,000 Peso lagi kepada Kolej St Mary bagi kerja-kerja penyelenggaraan institusi terbabit.
“Kita tidak memilih bulu dalam menyalurkan bantuan… tidak kiralah mangsa itu agama Islam ataupun agama Kristian, kalau dah ditimpa musibah kita bantu.
“Ini adalah bukti kita aplikasi konsep 1Malaysia di seluruh dunia,” tambah Abdul Azeez.









