Tindakan Tahan, Halang Xenophon Masuk Ke Malaysia Jamin Keselamatan Negara
SABTU lalu, heboh kisah mengenai Senator Australia, Nick Xenophon yang dihalang masuk ke Malaysia atas alasan menjadi ancaman kepada kestabilan serta keharmonian negara berdasarkan pembabitannya dalam perhimpunan haram Bersih 3.0.
Sebagai rakyat yang cintakan keamanan, penulis menyokong penuh langkah kerajaan itu yang bertujuan menjamin keselamatan negara daripada sebarang unsur atau kejadian yang tidak diingini.
Berdasarkan kepada laporan The Land Destroyer bertarikh 17 Februari, Senator Nick Xenophon dijadual bertemu dengan orang kuat IMF yang turut mendapat dana daripada Wall Street-London, Anwar Ibrahim.
Berikut terjemahan laporan itu:
Februari 17, 2013 (AltThaiNews) – Kerajaan Australia melaporkan dalam artikelnya, ‘Xenophon Dihalang Masuk Oleh Malaysia’ bahawa Senator Australia, Nick Xenophon telah ditahan dan dihalang masuk ke Malaysia sebagai sebahagian daripada ‘delegasi’ tidak rasmi parlimen untuk menilai sistem pilihan raya.
Realitinya, Senator Xenophon adalah sebahagian daripada usaha membantu pemimpin pembangkang yang mendapat sokongan Wall Street dan London untuk kembali berkuasa serta strategi geo-politik secara meluas di rantau Asia Tenggara bagi menyekat kebangkitan dan pengaruh negara China.
Mengesahkan perkara itu, akhbar Australian juga melaporkan bahawa:
“Beliau dan ahli Parlimen Australia yang lain dijadual berjumpa dengan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim selain menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal parlimen, Mohammed Nazri dan ahli kumpulan dikenali Bersih, satu pakatan yang memperjuangkan sistem pilihan raya yang adil dan telus.”
Gambar: Meskipun usaha Bersih digambarkan tiada kepentingan politik, ia jelas dipimpin Ketua Pembangkang yang disokong oleh USA, di mana Anwar Ibrahim mengetuai pakatan itu. Di sini, Anwar Ibrahim (tengah) dilihat sedang berucap dalam perhimpunan Bersih di Malaysia.
Bersih juga mengakui menerima dana yang disalurkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat melalui National Endowment for Democracy (NED) dan George Soros’ Open Society. Menurut laporan Malaysian Insider pada 27 Jun 2011, ketua perhimpunan Bersih, Ambiga Sreenevassan telah mengakui sendiri bahawa Bersih menerima dana daripada dua badan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), NDI (National Democratic Institute ) dan OSI (Open Society Institute)- untuk projek lain di mana beliau menegaskan ia tidak ada kaitan dengan perhimpunan pada 9 Julai 2011.
Rancangan Xenophon untuk berjumpa dengan Anwar Ibrahim yang mendapat sokongan negara Barat dan memperkenalkan perhimpunan Bersih untuk membolehkannya berkuasa adalah satu tindakan secara bersembunyi untuk campur tangan dalam urusan dalaman dan kedaulatan negara Malaysia.
Gambar: Diambil daripada US National Endowment for Democracy’s 2007 Democracy Award yang berlangsung di Washington DC. Anwar Ibrahim dilihat di bahagian kiri dan mengambil bahagian sebagai panelis. Tidak menghairankan NED kini memberi dana kepada Anwar untuk berkuasa di Malaysia melalui beberapa siri bantahan Bersih.
Anwar Ibrahim adalah Pengerusi kepada Jawatankuasa Pembangunan Untuk Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada tahun 1998. Kemudian (selepas bebas dari penjara 2004) berkhidmat sebagai pensyarah dengan bayaran gaji oleh Yayasan Dick Cheney, Foundation for the Future and Yayasan George Soros, International Crisis Group (ICG).
Selain itu, Anwar Ibrahim juga berkhidmat sebagai panelis untuk ‘Anugerah Demokrasi’ (Democracy Award) di NED (National Endowment for Democracy), pertubuhan sama yang menyalurkan dana dan menyokong perhimpunan Bersih, sekaligus membuktikan agenda sebenar mereka untuk ‘pilihan raya yang adil dan telus’.
Dakwaan ahli Bersih bahawa Anwar Ibrahim merampas pergerakan itu adalah rupanya-rupanya hampa terutamanya apabila dilihat kepada latar belakang politiknya dan bantuan kewangan yang dibiayai pihak luar.
Dua tahun Kacau Bilau Di Dunia Arab Jadi Alasan Keputusan Malaysia.
Jelasnya, kedatangan Senator Xenophon ke Malaysia bukan untuk memantau tetapi memeriksa sebuah kumpulan yang jelas mendapat dana luar negara, elemen subversif yang beroperasi bertentangan dengan prinsip kejujuran-menyebabkan dakwaan Malaysia bahawa kehadiran Xenophon merupakan satu ancaman keselamatan adalah wajar sama sekali.
Dalam tempoh dua tahun ‘promosi demokrasi Barat’ di negara Mesir, Libya dan Syria, ia hanya mendatangkan kemusnahan, bertambahnya kezaliman dan kemunculan pihak pelampau dan masalah sama telah berlaku tahun ini di Rusia di mana negara itu juga berhadapan isu ini, iaitu NGO tidak jujur yang menyokong Bersih dan Anwar Ibrahim di Malaysia.
Dari kaca mata pejuang hak asasi manusia Barat hingga ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu sendiri, semuanya telah disalahguna untuk mengejar agenda dan kepentingan pembiaya kewangan dari Barat yang akhirnya menyebabkan wujud dakwaan salah guna yang sepatutnya dihentikan dari peringkat awal lagi.
Melalui artikel seperti “The Redireciton” oleh wartawan yang memenangi Pulitzer Prize, Seymour Hersh di New York dan the Wall Street Journal’s “To Check Syria, U.S. Explores Bond With Muslim Brothers” telah mendedahkan sejak 2007 lagi Barat telah merancang untuk meletakkan pelampau bersenjata berkuasa di serata negara Arab.
Adalah jelas keganasan dan pemerintahan zalim yang kini berlaku di serata negara Arab merupakan konspirasi yang telah dirancang rapi.
Rancangan sama untuk menggunakan gerakan regim bagi menjatuhkan demokrasi malah keganasan di Asia Tenggara bagi menutup hasutan Barat terhadap perubahan regim bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi juga di Myanmar dan negara jiran, Thailand.
Rancangan menjadikan Asia Tenggara menentang China telah didokumentasikan sejak dari penghujung 1990an lagi.
Imej: Figura 1: Dari SSI 2006 laporan “String of Pearls’ mendedahkan secara terperinci strategi menyekat dan mengawal China. Demokrasi, kebebasan dan hak asasi akan menjadi topeng kepada regim yang mendapat sokongan Barat untuk berkuasa, ia juga sebahagian kempen di rantau ini untuk menjatuhkan elemen kenegaraan dan menggunakan regim yang mendapat sokongan Barat bagi mengepung dan menyekat China. Keganasan di kawasan seperti Sittwe, Rakhine Myanmar or Gwadar Baluchistan Pakistan, serta protes politik di Thailand dan Malaysia bukanlah satu kebetulan dan bukti telah menunjukkan sokongan Barat kepada kumpulan pembangkang di setiap negara berkenaan.
Rusia telah mewujudkan undang-undang, Malaysia mengikuti langkah itu dan menyokong keputusan Russia dalam perihal menghadapi monopoli media yang dikuasai negara Barat. Negara lain harus mengikuti, seolah-olah Barat itu ‘terkecuali’dan mereka juga tidak memikirkan kesan dan akibatnya seperti apa yang berlaku kepada Senator Australia yang ditahan dan dihalang masuk ke Malaysia. Sebenarnya, Xenophon telah bertindak di luar mandat dan tanggungjawabnya untuk mewakili kepentingan rakyat Australia, mencampuri kedaulatan Malaysia serta menjejaskan hubungan dua hala kedua-dua negara apabila beliau mencampuri hal ehwal sebuah negara yang berdaulat.
Agenda demokrasi dan hak asasi manusia yang digunakan oleh Barat untuk menutup apa yang dikatakan neo-imperialism yang kini hancur dan sokongan kepada pengganas Al Qaeda yang membunuh rakyat Libya dan Syria secara besar-besaran. Apabila mereka ini yakni penjuang kebebasan mempromosikan demokrasi, apa punca atau sebab Bersih dan Anwar Ibrahim menerima bantuan kewangan dan sokongan daripada kumpulan sama yang menyokong Al Qaeda di luar negara.
Apa yang menyebabkan Senator Nick Xenophon bertindak menggunakan reputasi Australia dan sumbernya untuk membantu dan bersuhabat dengan orang seperti itu? “.
Berdasarkan laporan itu juga, kita dapat menilai sendiri apakah tujuan sebenarnya Pakatan Rakyat mengadakan perhimpunan Bersih yang telah mencetuskan huru-hara serta menimbulkan pelbagai masalah lain kepada rakyat dan negara ini.
Oleh itu, rakyat seharusnya memberi sokongan kepada tindakan kerajaan itu dan menolak sepenuhnya parti pembangkang di bawah pimpinan Anwar Ibrahim yang ternyata sanggup bersubahat dengan Barat untuk menguasai Putrajaya.
Jika kuasa beralih tangan kepada pembangkang, tidak mustahil negara yang kini aman damai akan menjadi kacau bilau apabila kuasa Barat campur tangan dalam urusan politik seperti yang berlaku di negara-negara Arab.
Justeru, rakyat Malaysia perlu membuat penilaian dengan bijaksana demi masa depan agama, bangsa dan negara tercinta ini.












