Misi Bantuan Taufan Bopha KP1M: Sukarelawan Berdepan Gelombang Ribut Kedua
Sukarelawan Misi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Taufan Bopha Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), hampir-hampir berdepan dengan situasi bahaya apabila kerajaan Filipina menjangkakan gelombang kedua ribut terbabit bakal berlaku.
Difahamkan, satu gelombang taufan yang lebih besar dijangka berlaku dalam tempoh 12 jam bermula awal pagi tadi sehingga jam 6 petang.
Presiden KP1M, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mengetahui perkara itu setelah dimaklumkan oleh Konsulat Jeneral Filipina memberitahu gelombang rebut kedua itu dijangka dapat memusnahkan separuh daripada Bandar Davao.
Apa yang membimbangkan adalah, dalam tempoh 12 jam berkenaan, kesemua sukarelawan KP1M yang menyertai misi itu akan berada di beberapa perkampungan di Baganga, Davao bagi melaksanakan misi bantuan.
“Kita ada berita buruk iaitu saya telah dimaklumkan bahawa kerajaan Filipina telah mengeluarkan amaran kecil dimana kemungkinan berlakunya ribut buat kali kedua yang lebih besar.
“Saya difahamkan ia akan bergerak dalam tempoh 12 jam di mana sepanjang tempoh itu kita akan berada di sekitar Davao untuk menghulurkan bantuan,” katanya kepada pemberita pagi tadi.
Katanya, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana berita buruk itu setakat ini hanyalah ramalan pihak kerajaan Filipina berikutan wujudnya pergerakan angin kuat.
Malah jelas beliau, peserta misi juga telah diberi pendedahan awal mengenai perkembangan bencana terbabit di mana kesemuanya sentiasa berada dalam keadaan berjaga.
Dalam pada itu, sehingga waktu ini keadaan di sekitar bandar Davao masih berada dalam keadaan baik di mana jangkaan gelombang kedua itu tidak terjadi.
“Alhamdulillah, walaupun pagi tadi kita ada dengar mengenai jangkaan taufan kedua namun semuanya selamat sehingga jam 6 petang ini.
“Kita bersyukur kerana misi dapat dilaksanakan dengan berjaya ditambah dengan keadaan cuaca yang baik,” katanya.
Justeru, Abdul Azeez meminta rakyat Malaysia supaya sentiasa mendoakan keselamatan para sukarelawan agar tidak ditimpa bencana itu.








